Thursday, October 5, 2017

Sejarah Negeri Kelantan




Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.

Nama "Kelantan" dikatakan daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca Lucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Kelantan mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. 

Dalam tahun 1411, Raja Kumar iaitu Raja Kelantan telah membebaskan negeri itu dari takhlukan Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke-15.Pada 1820, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri lain. 

Pada tahun 1909, dibawah syarat Perjanjian British-Siam,  Kerajaan Siam bersetuju untuk menyerahkan tuntutan ke atas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada British, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Pemerintahan British.


Kelantan merupakan negeri pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun pada 8 Disember 1941. Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk negara Malaysia.

1 comment: