Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah
Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada
masa dahulu.
Nama "Kelantan" dikatakan daripada perkataan
"gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca Lucadendron.
Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan
"kilatan" atau "kolam tanah". Kelantan mempunyai
perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam.
Dalam tahun
1411, Raja Kumar iaitu Raja Kelantan telah membebaskan negeri itu dari
takhlukan Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk
Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada
akhir abad ke-15.Pada 1820, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang
termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan
pertikaian yang menimpa negeri-negeri lain.
Pada tahun 1909, dibawah syarat
Perjanjian British-Siam, Kerajaan Siam
bersetuju untuk menyerahkan tuntutan ke atas Kelantan, Terengganu, Kedah dan
Perlis kepada British, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri
Melayu Tidak Bersekutu di bawah Pemerintahan British.
Kelantan merupakan negeri pertama di Malaya yang ditakluk
oleh Jepun pada 8 Disember 1941. Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah
Melayu pada 1 Februari 1948 dan pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah
satu daripada negeri-negeri yang membentuk negara Malaysia.